Kita kerugian RM4.5juta

Friday, March 20, 2009 2:08
Posted in category Penipuan SMS, SMS Scam, irwan@cfm

Total up rakyat Malaysia telah kerugian berjumlah RM1.8j pada tahun lalu, RM2.2j pada 2007 dan lebih RM1/2j pada tahun 2006. Ini memberikan jumlah RM4.5 juta akibat sikap dan rasa tamak untuk mendapatkan keuntungan dari wang kemenangan SMS. Itu belum termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan.

Kes-kes penipuan ini dari semasa ke semasa perlu dibanteras dengan cara memberikan kesedaran secara berterusan.  Sepanjang saya berada dengan CFM, banyak info dan kes yang telah diterima dan dilaporkan dan saya rasa usaha2 pembasmian skim2 ini tidak akan selesai selagi kerana percaya atau tidak, penipuan ini tidak akan pernah mati.

Ayuh banteras !

KUALA LUMPUR 19 Mac — Seramai 55 orang ditangkap atas kesalahan penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dari tahun 2006 hingga tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung berkata tangkapan itu melibatkan 43 orang lelaki dan 12 orang perempuan.

Beliau berkata sebanyak 728 kes dengan kerugian dianggarkan RM1,842,442.68 dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lepas, 965 kes dengan anggaran kerugian RM2,155,720.91 pada 2007 manakala 318 kes dengan anggaran kerugian lebih RM548,725.27 pada 2006.

“Semenjak 2006 hingga tahun lepas, pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket yang bergiat aktif dalam Scam atau penipuan SMS Akademi Fantasia (AF4), SMS Maxis, Celcom, Digi, Petronas, Shell, Astro, Audisi KDI 4, Power Root dan Gang Starz,” katanya menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri).

Hwa ingin mengetahui jumlah kes penipuan melalui telefon bimbit dan talian tetap dilaporkan pada 2006 hingga 2008 dan langkah diambil kerajaan bagi menyelesaikan kes itu.

Chor berkata kerjasama antara pihak polis dengan syarikat telekomunikasi seperti Telekom, Maxis, Digi dan Celcom bagi mengekang penularan kes penipuan itu selain peringatan dihantar kepada pengguna melalui SMS ke telefon bimbit mereka.

Langkah lain termasuklah kerjasama dengan pihak bank, notis amaran Scam Penipuan SMS ditampal di mesin ATM dan hebahan melalui media cetak dan elektronik, katanya.

Beliau berkata PDRM turut menjalin kerjasama dengan Polis Republik Indonesia (POLRI) memandangkan hasil siasatan mendapati kebanyakan SMS yang diterima mangsa dihantar dari negara berkenaan.

Kepada soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) berhubung cadangan menyediakan satu talian khas bagi memudahkan pengguna yang menerima SMS palsu dapat dimajukan terus kepada jabatan polis untuk tindakan, Chor berkata, perkara itu sukar dilakukan memandangkan dalam siasatan pihak polis banyak menghadapi masalah.

“Bila pihak polis (terima kes) dengan serta merta membuat siasatan tentang nombor yang diberikan oleh mangsa, 99 peratus nombor telefon yang diberikan mempunyai nama tuan punya tetapi segala maklumat seperti alamat semua palsu, itu salah satu masalahnya,” katanya. — Bernama

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply