Waspada Panggilan & SMS Minta Maklumat Perbankan
Friday, May 8, 2009 1:20Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada jika menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta maklumat perbankan peribadi mereka. Pemanggil dan SMS yang dihantar mendakwa mereka dari bank pusat itu atau bank-bank komersil lain. BNM dalam satu kenyataan hari ini menyebut, tidak ada jabatan yang dikenali sebagai “Unit Kad Kredit Palsu” di Bank Negara atau nombor telefon 8659-XXXX.
Bank Pusat itu juga berkata BNM tidak pernah meminta maklumat perbankan peribadi menerusi SMS atau panggilan telefon.
BNM berkata berdasarkan aduan baru-baru ini, bilangan kes mereka yang tidak bertanggungjawab yang membuat panggilan dan menghantar SMS kepada orang ramai bagi memperoleh maklumat perbankan perbadi mereka dengan tujuan mengeluarkan wang daripada akuan, semakin meningkat.
Hasil siasaran bank pusat itu, modus operandi penipuan itu adalah seperti berikut: * Mangsa menerima SMS atau panggilan telefon meminta mereka mengesahkan transaksi kad kredit bagi pembelian barangan atau perkhidmatan yang dicaj kepada kad kredit individu.
* Apabila mangsa menghubungi nombor telefon yang dicatatkan pada SMS, penipu mengenalkan diri mereka sebagai ejen sebuah bank komersil dan sekali lagi meminta mengesahkan sama ada transaksi kad kredit dilakukan.
* Apabila mangsa memberitahu penipu bahawa beliau tidak mempunyai kad kredit atau melakukan transaksi, penipu berpura-pura perihatin dan menasihatkan mereka supaya membuat laporan kepada “Unit Kad Kredit Palsu” BNM atau jabatan pengurusan kad kredit bank komersil. Penipu itu kemudiannya akan membekalkan nombor telefon “Unit Kad Kredit Palsu”. * Apabila mangsa menghubungi nombor yang diberikan, beliau dilayani oleh mesej suara berautomasi yang kononnya bersumberkan BNM. Panggilan itu akan dijawab oleh seseorang yang mendakwa dia pegawai BNM. Pegawai ini kemudiannya meminta maklumat mengenai akaun kad kredit dan perbankan mangsa atas alasan untuk membuat aduan bagi pihak pengadu.
Penipu akhirnya mempunyai maklumat mencukupi untuk memindahkan wang daripada akaun bank mangsa secara haram.
Orang ramai diingatkan supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat perbankan peribadi mereka kepada pihak yang tidak dikenali sebelum pengesahan, kata BNM.
Untuk maklumat lanjut, pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK BNM, pusat pelanggan (tel. 1-300-88-5465, faks 03-2174 1515) atau emel bnmtelelink@bnm.gov.my.
Pelanggan juga boleh datang sendiri ke pusat khidmat pelanggan BNM di Blok D, Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur atau menggunakan talian terus Persatuan Bank-bank Malaysia di 1-300-88-9980. — Bernama


